Saturday, July 31, 2010

Penderaan Kanak-kanak





Anak-anak merupakan anugerah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Malangnya penderaan kanak-kanak sering berlaku pada zaman kini.

Penganiayaan kanak-kanak adalah satu tindakan yang bertujuan untuk merosakkan, mencederakan atau membunuh kanak-kanak oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak. Biasanya mangsa ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Ini termasuk penderaan kepada bayi yang mampu menyebabkan sindrom mengoncang bayi. Penderaan boleh berlaku dari segi pengabaian, fizikal, mentality dan seksual. .Sebahagian besar penganiayaan kanak-kanak adalah di rumah mereka, dengan jumlah yang lebih kecil terjadi di organisasi, sekolah atau komuniti kanak-kanak tersebut berinteraksi. Bentuk penderaan yang paling lazim dilaporkan kepada profesion perubatan adalah penderaan fizikal dan seksual.

Antara faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ialah tekanan yang dihadapi ibu bapa semasa bekerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tambahan pula, tabiat anak-anak yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa mendorong ibu bapa melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya.

Faktor kedua berlakunya masalah penganiayaan anak-anak pula ialah disebabkan kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak.

Penderaan kanak-kanak boleh dikategorikan kepada jenis penderaan fizikal, iaitu kanak-kanak didera secara fizikal dan terdapat kecederaan yang keterlaluan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh badan kanak-kanak berkenaan akibat penggunaan kekerasan. Hal ini melibatkan memukul, menendang, menolak, menampar, membakar, mencalar, menarik telinga atau rambut, mencekik dan menakutkan mereka . Biasanya kekerasan ini dilakukan dengan sengaja terhadap tubuh badan kanak-kanak dengan adanya bukti laserasi, kontusi, calar, parut, patah atau kecederaan tulang,seliuh, pendarahan, pecah viskus, luka bakar , melecur, kehilangan rambut atau gigi. Penderaan fizikal lebih kerap dikaitkan dengan golongan ibu, kerana mereka yang menjaga dan mendisiplin kanak-kanak. Kesan daripada penderaan fizikal boleh mengakibatkan mangsa sukar untuk mempercayai orang dewasa, menjalin persahabatan yang tidak mendalam, dan sering meninggalkan kawan baru jika ia merasakan bahawa ia tidak diterima.

Manakala penderaan seksual merujuk kepada perlakuan individu yang memaksa, memperdaya atau mengugut kanak-kanak yang mendorong berlakunya hubungan seksual, sumbang, rakaman filem atau persembahan yang mempunyai tujuan eksploitasi seks dengan mereka untuk memuaskan nafsu seksual. Penderaan seksual termasuk menyentuh bahagian sulit, menunjukkan bahan-bahan lucah kepada kanak-kanak, mengambil gambar kanak-kanak dalam aksi seksual.menggalakkan kanak-kanak menonton atau mendengar aksi seksual, rogol, seks oral dan liwat. Penganiayaan seksual mampu menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak dan kedua-dua kecederaan psychologikal dan emosi bagi jangka pendek dan jangka panjang, termasuk kemurungan klinikal, kecacatan, tekanan post -trauma, kerisauan,dan kecenderungan menjadi pemangsa apabila dewasa, dan symptom lain. Menurut kajian, sekitar 15% hingga 20% wanita dan 5% hingga 15% dari orang lelaki mengalami gangguan seksual ketika mereka kecil.Kebanyakan pelaku gangguan seksual adalah berkenalan dengan pemangsa mereka; sekitar 30% adalah saudara kanak-kanak itu sendiri, seperti adik-beradik, ayah, ibu atau sepupu; sekitar 60% pula adalah kenalan lain seperti kawan-kawan dari keluarga, pengasuh anak, atau jiran tetangga, dan 10% ialah orang asing .

Jenis penderaan yang ketiga ialah kerana diabaikan penjagaan, ia didefinisikan oleh Akta Perlindungan Kanak-kanak.sebagai kegagalan ibu bapa untuk memenuhi keperluan asas anak seperti pemberian makanan, pakaian, kediaman, rawatan perubatan, tidak memberi penyeliaan atau pengawalan anak daripada terlibatnya dengan kumpulan jahat atau bahaya moral dan tidak melindungimereka daripada bahaya sehingga kanak-kanak terpaksa menjaga diri sendiri dan menjadi pengemis.

Penderaan kanak-kanak secara emosi pula didapati kerap berlaku di kalangan kanak-kanak sama ada secara berasingan atau bersama-sama dengan jenis penderaan lain. Penderaan emosi kerap terjadi dengan tidak ketara tetapi kesannya terhadap perkembangan fizikal dan mental di kalangan kanak-kanak sangat jelas sehingga memerlukan rawatan perubatan. Penderaan emosi merupakan gangguan yang keterlaluan atau boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak yang dibuktikan dengan adanya gangguan mental atau tingkah laku, termasuk keresahan, kemurungan, pengasingan diri,tingkah laku agresif atau kerencatan perkembangan. Hal ini dapat merangkumi nama-panggilan, ejekan, degradasi, kerosakan harta benda, penyeksaan, kritikan yang keter laluan, tuntutan tidak sesuai atau berlebihan, pemotongan komunikasi, atau penghinaan.

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya seseorang menjadi baik. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

Disediakan oleh: ONG WEY CHYUAN (205915)
765 patah perkataan

No comments:

Post a Comment