Sunday, August 8, 2010

Gejala Ponteng Sekolah


Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hujan walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.


Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah disebabkan oleh keruntuhan institusi keluarga seseorang pelajar itu. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan anak-anak mereka tidak di hiraukan. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah displin dalam kalangan pelajar terutamanya masalah ponteng sekolah. Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggirkan dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.


Selain itu, pengaruh rakan turut menjadi salah satu punca berlakunya masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka hanya akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Fenomena ini berlaku kerana rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang dianggap munasabah bagi mereka. Pelajaran di sekolah dikatakan membosankan dan aktiviti ponteng sekolah untuk menenangkan fikiran menjadi alasan untuk tidak hadir ke sekolah. Ini jelas menunjukkan pengaruh rakan menjadi satu faktor berlakunya ponteng sekolah dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.


Didikan daripada ibu bapa dan kekurangan ajaran agama turut menimbulkan masalah ponteng sekolah yang kian menjadi-jadi itu. Ketika berada di rumah, anak-anak tidak dididik oleh ibu bapa mereka dengan sempurna dan sikap tanggungjawab tidak diterap ke dalam jiwa mereka. Ini secara tidak tidak langsung mempengaruhi pembentukan peribadi mereka dan amalan ponteng sekolah merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dipraktikkan oleh mereka. Masalah didikan ibu bapa yang tidak efektif kadang-kala boleh menyebabkan mereka tidak berupaya melakukan penaakulan yang rasional mengenai kesalahan yang mereka lakukan serta baik buruknya sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Ini membuktikan didikan daripada ibu bapa yang kurang sempurna secara tidak langsung mempengharuhi timbulnya gejala ponteng sekolah tersebut.


Antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah ini adalah dengan menguatkuasakan peraturan sekolah. Hukuman yang lebih berat seperti digantung sekolah dan dibuang sekolah patut diwujudkan bagi pelajar-pelajaar yang mempunyai kekerapan tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah. Sistem pengesanan amalan ponteng sekolah yang lebih efektif patut dilaksanakan supaya pelajar-pelajar yang kerap ponteng sekolah dapat dikesan dengan lebih cepat dan lebih berkesan. Khidmat kaunseling perlu diberikan kepada mereka yang sering ponteng sekolah bagi memastikan masalah yang mereka hadapi diselesaikan dengan cara yang terbaik.


Ibu bapa turut perlu meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak mereka dan memberi perhatian yang secukupnya terhadap tingkah laku anak-anak mereka di sekolah. Kebebasan bergaul dengan rakan di luar sekolah turut patut dikawal demi mengelakkan anak-anak dipengaruhi dengan amalan suka ponteng sekolah. Didikan tidak formal sejak kecil lagi perlu dilakukan kerana melentur buluh biar dari rebungnya. Anak-anak perlu dididik untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan supaya berfikir secara rasional.


Masyarakat sekeliling turut perlu berkerjasama dalam usaha menangani masalah ini dengan melaporkan kes-kes ponteng sekolah di luar sekolah jika dapat dikesan. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis dalam kalangan masyarakat kita. Pihak kerajaan juga boleh menganjurkan ceramah dan kempen yang berkaitan dengan keburukan kegiatan ponteng sekolah di setiap sekolah. Ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mewujudkan kesedaran dalam diri pelajar-pelajar mengenai keburukan gejala ponteng sekolah kerana belakang parang diasah, lagikan tajam.


Kesimpulan, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum nasi menjadi bubur. Demi mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan, langkah drastik daripada semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Jadi, sama-sama kita berganding bahu untuk menangani masalah ini.


Disediakan Oleh:Yoganathan A/L Nadaraju

No.Matrik:205918



No comments:

Post a Comment