Monday, August 2, 2010

Mat Rempit


Remaja enggan mengikut peraturan isyarat trafik juga dikenali sebagai “mat rempit” bukan lagi suatu isu yang baru dalam Negara kita , sedangkan gejala ini telah wujud pada tahun 80-an dan awal tahun 90-an. Walau bagaimanapun, gejala ini tidak pernah berhenti daripada menular dan kini ia telah merebak ke seantero Negara. Penularan isu ini telah membimbangkan seluruh masyarakat. Terdapat rencaman perencah yang mendorong remaja untuk melibatkan diri dalam aktiviti merempit dan gejala mat rempit ini juga boleh mendatangkan pelbagai impak yang negatif terhadap masyarakat mahupun negara. Justeru, pelbagai strategi harus dirangka untuk menangani kemelut ini.

Salah satu faktor yang mendorong remaja untuk melibatkan diri dalam aktiviti merempit ialah pengaruh rakan sebaya. Selain keluarga terdekat, kawan merupakan orang yang paling remaja percaya dan sanjungi. Oleh itu, kawan mampu mempengaruhi minda, sikap, tabiat seseorang remaja. Kebanyakan remaja akan mengisi masa lapang mereka bersama kawan-kawan. Keadaan ini telah menyebabkan mereka mudah obses dengan perangai rakan mereka atau melibatkan diri mereka dalam aktiviti –aktiviti yang tidak berfaedah seperti yang dilakukan oleh kawan –kawan mereka. Sebagai uswah, kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala mat rempit adalah akibat daripada pengaruh rakan sebaya, mereka sanggup mencuri motorsikal untuk mendapatkan alat –alat ganti dan sebagainya atas pengaruh rakan sebaya. Dengan ini jelaslah, pengaruh rakan sebaya memang boleh memusnahkan jati diri seseorang remaja.

Selain itu, kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa juga merupakan salah satu perencah yang mendorong remaja untuk melibatkan diri dalam gejala mat rempit. Pada zaman muasir ini, kebanyakan ibu bapa akan sibuk bekerja dari pagi hingga ke larut malam untuk menyara keluarga dan ingin memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada anak- anak. Keadaan ini telah menyebabkan anak- anak mereka terabai. Kebanyakan ibu bapa akan membiarkan anak- anak mereka bersendirian di rumah dengan jagaan pembantu rumah. Apabila berseorangan di rumah, remaja akan berasa bosan dan terabai. Justeru, mereka akan keluar untuk mencari hiburan di luar rumah bagi menghilangkan rasa bosan. Sebagai tamsilan, mereka akan menyertai kumpulan mat rempit untuk mencari keseronokan di atas jalan raya tanpa memikirkan risikonya.

Di samping itu, perasaan ingin mencuba yang ada dalam diri setiap remaja juga merupakan faktor wujudnya virus mat rempit ini. Naluri remaja yang suka mencuba dan tidak takut kepada risiko yang bakal ditempuhi mereka telah mendorong mereka untuk mencuba sesuatu aktiviti yang baru, unik, dan menarik. Mereka berani melakukan apa- apa sahaja dan mudah berasa seronok serta mempunyai keinginan yang kuat untuk mencuba apa- apa yang dipaparkan dalam televisyen, internet, majalah dan media lain. Sebagai tamsilan, teknik- teknik menunggang motorsikal yang semakin sukar dan bahaya seperti teknik baring, teknik berdiri, teknik mengangkat roda serta teknik- teknik lain akan menarik minat remaja untuk belajar dan mencuba di atas jalan raya.

Gejala mat rempit juga mendatangkan banyak impak yang negative. Antara natijahnya ialah menyebabkan peningkatan dalam kemalangan jalan raya. Perbuatan merempit ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah ia juga boleh menyebabkan pengguna jalan raya yang tidak berdosa menjadi korban. Mat rempit suka beraksi di celah- celah kereta yang penuh sesak di Kuala Lumpur untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Perbuatan ini telah mengakibatkan ramai yang menjadi mangsa kemalangan, ini termasuklah mat rempit dan minah rempit sendiri. Mereka sanggup mati katak hanya untuk keseronokan semata- mata.

Selain itu, gejala mat rempit ini juga boleh menyebabkan peningkatan dalam masalah jenayah. Mat rempit bukan sahaja terlibat dalam aktiviti lumba haram, tetapi mereka turut serta dalam kemelut sosial lain seperti pengedaran dadah, rogol, merompak, menghisap dadah dan sebagainya. Hampir semua mat rempit adalah berkumpulan atau berpuak. Oleh itu, mereka berani mencabar undang- undang dengan melakukan rencaman jenis kes jenayah. Sebagai uswah, wujud banyak kes ragut yang dilakukan oleh mat rempit sehingga menyebabkan mangsa ragut kehilangan nyawa yang berharga.

Untuk menghalang gejala ini daripada terus berleluasa, beberapa langkah harus diambil oleh kerajaan dan ibu bapa. Kerajaan harus menguatkuasakan undang- undang dengan lebih efektif . Hukuman yang lebih berat harus dikenakan terhadap mat rempit- mat rempit yang berjaya ditahan polis dan didapati salah disisi undang-undang. Sebagai contoh, hukuman penjara selama 3 tahun, hukuman sebat, hukuman membuat kerja- kerja amal selama 100 jam dan hukuman- hukuman lain yang setimpal dengan perbuatan mereka harus dikenakan terhadap mereka yang bersalah. Dengan adanya hukuman yang berat, mat rempit tidak akan berasa lali dan tidak berani membuat sesuatu yang melampaui undang- undang.

Selain itu, peranan dan tanggungjawab ibu bapa juga boleh menghalang penularan gejala mat rempit. Ibu bapa harus meluangkan lebih banyak masa untuk bersama anak-anak agar mereka tidak berasa terabai. Pemantauan kedudukan anak- anak juga harus dilakukan oleh ibu bapa dari semasa ke semasa.Pendekatan ini boleh membantu ibu bapa untuk memahami anak-anak mereka dengan lebih mendalam dan mengenali kawan- kawan mereka serta aktiviti- akiviti yang selalu mereka lakukan. Ibu bapa juga boleh mengatur dan mengisi masa lapang anak-anak mereka dengan aktiviti yang berfaedah agar mereka tiada masa yang berlebihan untuk aktiviti yang tidak berfaedah dan terlibat dalam lumba haram.

Sebagai intiha, remaja harus pandai membezakan antara permata dan kaca agar tidak tersasar daripada landasan hidup sempuna dan terjerumus dalam gejala mat rempit. Gejala ini hanya akan mendatangkan keburukan sahaja. Oleh itu, waspadalah mat rempit- mat rempit semua sebelum nasi menjadi bubur, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.



[843 patah perkataan]
Disediakan oleh:KOH SHU HOW [206125]

No comments:

Post a Comment